“Aduh, tak sanggup saya menanggung kesakitan pada leher, kaku dan menyakitkan!”
Ya, sakit pada leher adalah kejadian biasa yang berlaku kepada semua orang, lebih-lebih lagi bagi mereka kerap bekerja di pejabat.
Ia terjadi apabila mengalami rasa sakit pada mana-mana bahagian leher. Ia juga boleh melibatkan bahagian-bahagian lain seperti bahu, kepala dan muka.
Pencegahan awal dan rawatan intensif dapat mengurangkan masalah ini.
Dalam artikel ini, kami kupas beberapa isu seperti punca, simptom dan kaedah fisioterapi untuk mengurangkan masalah kesakitan.
Punca Sakit Pada Leher
Sakit di bahagian leher boleh disebabkan oleh beberapa punca:
1. Ketegangan Otot
Ketegangan otot di bahagian leher dan bahu sering berlaku disebabkan oleh aktiviti atau cara hidup seseorang.
Antaranya seperti:
- Berdiri dan duduk dengan postur yang salah
- Duduk bekerja di meja dalam satu jangka masa yang lama tanpa mengubah posisi
- Posisi tidur yang salah
- Menggerakkan leher dengan laju ketika bersenam
2. Kecederaan dan Kemalangan
Leher mempunyai banyak pergerakan dan menyokong berat kepala.
Namun begitu, ia boleh terdedah pada kecederaan kerana kurang dilindungi berbanding bahagian lain seperti tulang belakang.
Struktur di bahagian leher mudah tercedera, terutama ketika terjatuh atau kemalangan. Jika tulang, ligamen atau otot tercedera, ia boleh menyebabkan leher menjadi sakit.
3. Serangan Sakit Jantung
Leher yang sakit juga boleh menjadi salah satu tanda serangan sakit jantung.
Pesakit juga akan mempunyai simptom lain seperti:
- Sesak nafas
- Berpeluh dengan banyak
- Loya dan muntah
- Sakit tangan sebelah kiri
4. Meningitis
Meningitis merupakan sejenis jangkitan kuman pada selaput otak.
Antara simptom jangkitan ini adalah demam, sakit kepala dan juga sakit pada leher. Leher akan menjadi keras dan sukar untuk dibengkokkan.
5. Penyebab-Penyebab Lain
Terdapat juga faktor-faktor lain yang boleh menjadi punca kesakitan:
- Rheumatoid arthritis
- Osteoporosis
- Slipped disc
Simptom
Kesakitan di bahagian leher biasanya dikaitkan dengan rasa sakit yang lenguh-lenguh.
Kadangkala, rasa sakit menjadi lebih teruk apabila leher digerakkan atau kepala berpusing.
Antara simptom yang berkaitan termasuk:
- Rasa kebas dan semut-semut
- Rasa sakit yang tajam dan menyucuk
- Sukar untuk menelan
- Rasa berdenyut-denyut
- Pening
- Sakit kepala yang teruk
- Kesakitan di bahagian muka dan bahu
Diagnos
Selain dari penerangan dari pesakit, sakit tengkuk juga boleh didiagnos melalui beberapa ujian seperti:
a) X-ray Leher
Jika berlaku trauma seperti kemalangan kereta, X-ray leher wajib dijalankan. Ia penting bagi memastikan tiada tulang yang patah sekitar bahagian leher dan bahu.
b) Electrocardiogram
Dijalankan jika pesakit mengadu sakit dada, sesak nafas atau sakit ulu hati. Ia bertujuan untuk mengesan serangan sakit jantung.
c) Pengambilan Air Tulang Belakang
Jika pesakit disyaki menghidap jangkitan kuman pada meningitis, ujian ini akan dijalankan.
Ia adalah untuk mengetahui jenis kuman yang menyebabkan jangkitan tersebut.
Cara Mengurangkan Sakit Pada Leher
Terdapat beberapa cara untuk hilangkan rasa sakit pada leher:
1. Pek Ais atau Haba
Anda boleh cuba letakkan pek ais atau pek panas di bahagian yang sakit.
Ais boleh mengurangkan keradangan di bahagian leher yang sakit. Manakala pek haba pula melancarkan peredaran darah.
2. Lakukan Regangan dan Senaman
Anda boleh kurangkan kesakitan dan rasa kaku atau keras di leher dengan melakukan regangan.
Namun, pastikan ia dilakukan dengan perlahan-lahan bukan secara tiba-tiba.
Regangan boleh dilakukan dengan menolak bahu ke hadapan dan ke belakang.
Tekan kedua-dua lengkungan bahu seiring dan bergilir kanan dan kiri.
3. Mengurut
Urutan yang betul boleh legakan otot yang tegang di sekitar leher.
Namun, pastikan anda hanya dapatkan khidmat professional dan pakar urutan.
4. Kurangkan Tekanan dan Stress
Tekanan dan stress boleh memberi kesan buruk pada fizikal, termasuk pada leher. Ia akan menyebabkan otot leher mengeras dan kaku.
Cuba kurangkan tekanan dengan meditasi, bercuti atau mengamalkan hobi yang anda suka.
5. Tidur Dengan Posisi yang Betul
Posisi tidur yang salah menjadi salah satu punca utama sakit leher.
Oleh itu, pastikan tilam, bantal dan posisi tidur yang betul supaya leher anda tidak sakit.
6. Rawatan Fisioterapi
Fisioterapi atau terapi manual boleh merawat sakit tengkuk.
Rawatan ini juga dapat membantu anda menggerakkan kepala dan leher dengan lebih mudah.
Rawat Pemulihan Dengan Fisioterapi
PhysioGo menawarkan rawatan fisioterapi untuk melegakan sakit pada leher. Pelbagai jenis rawatan ditawarkan, termasuk terapi manual, senaman dan nasihat penjagaan.
Semua ahli fisioterapi di PhysioGo merupakan ahli terapi bertauliah dan berkelulusan dari universiti tempatan dalam bidang Fisioterapi.
Oleh itu, anda tidak perlu ragu-ragu untuk mendapatkan rawatan dari pakar yang diiktiraf.