Buku lali bengkak berlaku apabila bendalir badan seperti darah dan cecair limfa terkumpul di bahagian buku lali kaki.
Cecair yang terkumpul itu menjadi sukar untuk bergerak ke bahagian badan yang lain. Ianya dipanggil “edema buku lali”.
Bengkak buku lali ini nampak merisaukan dan akan membuatkan individu tidak berasa selesa hingga mengganggu aktiviti harian.
Namun, dalam banyak keadaan terutamanya setelah berdiri atau berjalan secara berterusan, bengkak buku lali biasanya akan hilang dengan sendirinya.
Tetapi terdapat juga masalah buku lali bengkak yang lebih serius dan ini adalah penting untuk ambil tahu.
Jadi, dalam artikel ini kami akan mengupas punca, rawatan dan pencegahan dalam menguruskan buku lali kaki yang bengkak.
Punca Buku Lali Bengkak
Pembengkakan buku lali kaki boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk:
1. Cedera atau Kecederaan
Kecederaan pada buku lali, seperti tergelincir, terjatuh, atau menegakkan kaki secara tidak betul, boleh menyebabkan pembengkakan.
Ini mungkin melibatkan ligamen yang terentang atau patah kecil.
2. Kesan Sampingan Ubat
Ada banyak jenis ubat yang memberi kesan sampingan hingga menyebabkan buku lali bengkak.
Antaranya adalah seperti ubat darah tinggi kategori calcium channel blocker seperti nifedipine, amlodipine, diltiazem dan verapamil atau ubat diabetes kategori thiazolidinedione (TDZ) seperti pioglitazone dan rosiglitazone.
Reaksi alahan terhadap sesuatu seperti ubat atau makanan juga boleh menyebabkan pembengkakan pada kawasan buku lali kaki.
3. Arthritis atau Radang Sendi
Penyakit arthritis, khususnya osteoarthritis atau arthritis reumatoid, boleh menyebabkan radang pada sendi buku lali kaki dan pembengkakan.
Selain radang pada sendi, radang pada struktur tendon di buku lali juga menyebabkan bengkak.
Masalah ini biasanya terjadi kepada atlet atau orang yang lebih berumur serta memiliki berat badan berlebihan.
4. Jangkitan Kuman
Jangkitan kuman pada buku lali, juga dikenali sebagai arthritis septik.
Ini boleh mengakibatkan demam, sakit buku lali, ketidakupayaan untuk menggerakkan kaki, dan buku lali bengkak.
Selain itu, tahukah anda, pesakit diabetes lebih berisiko mendapat jangkitan pada kawasan kaki dan buku lali yang boleh menyebabkan bengkak pada kawasan tersebut.
Cara Rawatan Kendiri di Rumah
Jika anda mengalami kecederaan dan rasa sakit pada buku lali, anda boleh ambil ubat tahan sakit seperti NSAID.
Anda juga boleh cuba teknik RICE (rest, ice, compression, elevation) bagi melegakan masalah buku lali bengkak.
1. Rehat (rest)
Elakkan bergerak terlalu banyak atau berdiri terlalu lama.
2. Ais (ice)
Meletakkan ais yang dibalut dengan kain ke tempat yang sakit dalam jangka masa 15-20 minit sebanyak tiga kali sehari.
3. Pemampatan (compression)
Gunakan kain pembalut untuk mengurangkan bengkak, tetapi jangan balut sehingga menjadi terlalu ketat.
4. Peninggian (elevation)
Naikkan kaki pada paras yang lebih tinggi daripada jantung dengan meletakkannya di atas bantal.
Selain itu, individu yang mengalami buku lali bengkak, anda boleh mengikuti cara rawatan kendiri terlebih dahulu jika tidak terlalu serius.
Antara langkah rawatan yang anda boleh ikuti adalah seperti berikut;
- Tinggikan kaki di atas bantal atau kerusi.
- Angkat kaki dan tegakkan ke dinding sambil baring.
- Pakai stokin kompresi.
- Berjalan atau buat senaman ringan untuk membaiki aliran darah pada kaki.
- Pakai kasut yang tidak terlalu ketat dengan tumit rendah dan tapak yang lembut.
- Menjaga berat badan agar kekal pada tahap ideal.
- Mengamalkan gaya hidup sihat dengan makanan yang seimbang dan senaman yang mencukupi.
Cara Pencegahan Awal
Penting untuk memahami cara mengelakkan buku lali bengkak bagi memelihara kesihatan kaki.
Ia bukan sekadar membantu menghilangkan kesakitan, malah meningkatkan daya gerak dan kualiti kehidupan secara keseluruhan.
Berikut adalah beberapa langkah mudah yang boleh diambil untuk mencegah dan mengurangkan risiko buku lali bengkak.
1. Gunakan Kasut yang Sesuai
Pastikan kasut yang dipakai sesuai dan memberikan sokongan yang mencukupi kepada buku lali kaki.
2. Amalkan Pemanasan Sebelum Bersenam
Sebelum bersenam, amalkan pemanasan yang mencukupi untuk mengurangkan risiko cedera dan pembengkakan.
3. Elakkan Aktiviti Berisiko Tinggi
Elakkan daripada terlibat dalam aktiviti yang boleh meningkatkan risiko cedera pada buku lali kaki.
4. Amalkan Senaman Penguatan
Senaman yang menguatkan otot-otot sekitar buku lali dapat membantu mengurangkan risiko cedera dan pembengkakan.
Kaki Bengkak dengan Rawatan Fisioterapi
Rawatan fisioterapi memainkan peranan penting dalam pemulihan buku lali kaki yang mengalami pembengkakan.
Fisioterapi dapat merangkumi:
1. Terapi Latihan
Latihan terapi yang diberikan akan disesuaikan dengan keadaan buku lali kaki yang bengkak.
Ia membantu memperkuatkan otot-otot sekitar buku lali, meningkatkan kestabilan, dan mengurangkan risiko kecederaan semula.
2. Teknik Pemulihan Gerak
Ahli fisioterapi menggunakan teknik pemulihan gerak untuk meningkatkan fleksibiliti dan gerakan buku lali kaki.
Teknik ini sangat membantu untuk mendapatkan pemulihan yang berkesan.
3. Terapi Pemanasan dan Penyejukan
Penggunaan terapi pemanasan dan penyejukan dapat membantu mengurangkan kesakitan, meredakan pembengkakan, dan meningkatkan peredaran darah.
4. Pendidikan dan Konseling
Ahli Fisioterapi turut memberikan pendidikan mengenai penjagaan diri, latihan yang betul, dan cara untuk mencegah kecederaan semula.
Kesimpulan
Pembengkakan buku lali kaki memerlukan penjagaan yang komprehensif, termasuk rawatan awal, pencegahan, dan dalam beberapa kes, rawatan fisioterapi.
Kajian mendalam oleh profesional kesihatan, seperti doktor dan ahli fisioterapi, penting untuk memastikan pemulihan yang optimal.
Sekiranya pembengkakan berterusan atau menjadi lebih serius, adalah penting untuk mendapatkan nasihat dan rawatan lanjut daripada pakar kesihatan yang berkelayakan.
Memahami perlunya rawatan fisioterapi dapat mempercepatkan proses pemulihan dan meningkatkan keupayaan buku lali kaki untuk berfungsi dengan baik.
Untuk merasai manfaat rawatan fisioterapi dan memulakan perjalanan ke arah pemulihan kesihatan yang lebih baik, anda dialu-alukan untuk datang ke Pusat Fisioterapi Physiogo.
Kami komited untuk membantu anda mengurangkan kesakitan, meningkatkan mobiliti, dan meningkatkan kualiti hidup anda.
Hubungi kami hari ini untuk mendapatkan penilaian kesihatan percuma dan rancangan rawatan yang disesuaikan untuk keperluan anda.
Jangan biarkan sakit sendi menghalang anda daripada menjalani kehidupan yang sihat dan bertenaga.
Sertai kami di Physiogo, dan mari kita bergerak ke arah kehidupan yang lebih sihat dan bertenaga bersama-sama.